Saturday, 2 July 2011

secupak jadi segantang

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt



Kisah dua orang pemuda
Pada suatu ketika dahulu, ada dua orang pemuda pergi mengembara dan berkhemah di sebuah gunung. Lama kelamaan, bekal yang mereka bawa semakin berkurangan. Akhirnya salah seorang daripada mereka iaitu Ahmad menyatakan ingin keluar dari tempat perkhemahan mereka untuk mencari rezeki.
Tetapi, seorang lagi pemuda itu iaitu Ali tidak menyetujui rancangan sahabatnya itu dan mengatakan akan cuba berdoa pada Allah untuk mendatangkan rezeki bagi mereka. Si Ahmad tertawa, 
"mana mungkin rezeki datang cuma dengan berdoa? Kita harus tetap berusaha agar mendapatkan rezeki", kata Ahmad dengan yakinnya.
Ali tetap dengan pendiriannya bahwa rezeki datang dari Allah, bukan dari manusia. Dan Ahmad tetap juga dengan pendapatnya bahwa rezeki itu perlu dicari, dan dia perlu bekerja. Rezeki tidak mungkin datang tiba-tiba begitu sahaja. Oleh kerana kedua-duanya masih menegakkan pendirian masing-masing, akhirnya mereka bersetuju untuk membuktikan siapa yang paling benar.
“Baik, kita buktikan siapa yang paling benar! Aku akan turun gunung untuk mencari rezeki, dan kamu disini teruslah berdoa, solat dan apa saja yang kamu mahu lakukan, asalkan kamu tidak bekerja”, Ahmad nekad dengan keputusannya. Ali pun bersetuju.
Akhirnya Ahmad pun turun dari gunung tersebut, dan bekerja sehingga lewat petang di sebuah kebun epal. Sebagai upah hari itu, Ahmad diberikan sebakul kecil buah epal. Ahmad puas dengan hasil kerjanya. 
“Hmm.. epal sebanyak ini tentu cukup untuk bekalan makanan beberapa hari…hehehe…”, ucapnya dalam hati dengan girang. Ahmad membayangkan pasti si Ali akan menyesal dan menarik kembali ucapannya. Mustahil untuk dia mendapatkan rezeki hanya dengan berdoa.
Sesampai di tempat perkemahan, dilihatnya Ali masih tersimpuh di atas sajadahnya. Disambutnya Ahmad dengan senyuman. “Bagaimana? Dapat rezekinya?”, katanya sambil tersenyum. “Mestilah dapat! Kalau kerja pasti akan dapat!”, ejek Ahmad. “Alhamdulillah…”, jawab Ali.
“Kamu pula bagaimana?”, tanya Ahmad. “Dapat rezeki tak dengan berdoa?”
“Masih belum”, jawab Ali singkat.
“Hahaha… kan sudah aku katakan tadi, kamu pasti takkan dapat rezeki hanya dengan berdoa! Nasib baik aku bawa rezeki lebih hari ini. Nah, kita bagi dua. Aku takkan mungkin dapat menghabiskannya sendiri.  Nanti epal ni jadi busuk pulak ”, kata Ahmad.
“Alhamdulillah…Terima kasih ya Allah atas rezeki yang sudah Kau kurniakan”, Ali menadahkan tangannya mengucap kesyukuran.
Ali tersenyum, “Benar kan? Asalkan kita percaya pada Allah, Dia takkan pernah meninggalkan hambaNya”. “Tengok, aku juga mampu mendapatkan rezeki yang sama denganmu walaupun hanya berdoa disini saja”.
Ahmad pun tersenyum, “Hahaha… kamu memang pintar Ali”.
Cerita ini saya olah dari salah sebuah cerita yang saya pernah baca suatu ketika dahulu. Mungkin kisah ini agak pelik, tapi sebenarnya cerita itu sering terjadi pada kehidupan kita. Allah sering memberikan jalan keluar yang tidak disangka-sangka pada hambaNYA yang berdoa dan bertawakkal padaNYA.. Mungkin ada yang mengatakan bahawa mana mungkin kita dapat menemui rezeki tanpa berusaha.. Ya, anda benar.. Doa itu juga merupakan salah satu usaha bukan? dan usaha zahir itu juga perlu.. Seperti yang selalu kita dengar, 'Usaha tanpa doa itu sombong, doa tanpa usaha itu bohong'. Maka untuk mendapatkan apa yang kita mahukan, perlulah usaha dan juga doa.. Insya Allah, pasti Allah akan memberikan rezeki yang tidak terduga. Mugkin, ada juga yang masih berdoa, mencari dan menanti, tetapi belum menemukan rezeki yang dinanti-nanti.. Usahlah risau dan khuatir.,selama umur masih ada, maka rezeki tetap datang. Jika Allah menutup salah satu jalan rezeki, dengan hikmah-Nya, maka dengan rahmat-Nya, Dia membukakan jalan lain yang lebih bermanafaat bagi anda.

Kisah sahabat saya

Alhamdulillah, hari ini menerima perkhabaran gembira lagi dari seorang kawan lama, bahawa beliau telah berjaya mendapat pekerjaan. 
Alhamdulillah, maha suci Allah yang mengaturkan segalanya.. setahu saya, sahabat saya itu bukanlah dari keluarga yang senang, dan ayahnya pula sudah meninggal dunia.., Selama ini kehidupannya penuh dengan dugaan.. Maha suci Allah yang telah menetapkan rezeki setiap hamba-hambaNYA.. tidak seorang pun yang terkecuali... jika ayahnya masih hidup, pasti dia akan menjadi insan yang paling bahagia melihat anaknya berjaya.. dan apabila saya bertanyakan padanya tentang pekerjaan barunya, dia memberitahu bahawa kemudahan tempat tinggal dan pengangkutan untuknya ke tempat kerja juga ada disediakan..betapa beruntungnya dia! gaji yang bakal diberikan padanya juga melebihi apa yang dia harapkan.. Subhanallah.. Dalam hati, saya hanya mampu mengucap Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah yang tidak pernah lupa akan hambaNya..ternyata rezeki yang secupak boleh menjadi segantang dengan izin Allah!! Moga dia tidak lupa bila dia sudah senang kelak... 

Ya Allah, berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami, dan jadikanlah kami dari kalangan hambaMU yang bersyukur..amin..

~secebis peringatan buat diri
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: 
“Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
 (H.R Imam Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

No comments:

Post a Comment

(Thanks for dropping by!! ^_^)