Wednesday, 30 March 2011

hidayah itu milik Allah...

Bismillahirrahmanirrahim


Humaira menutup pintu sliding kaca yang memisahkan ruang bilik kecil tempat dia dan teman-temannya itu dari ruang laluan ke dapur dan tandas. Ruang laluan itulah juga yang digunakannya untuk menunaikan kewajipannya menemui Penciptanya. Kebiasaannya, selepas pintu itu ditutup, bunyi radio yang berkumandang di ruang mereka duduk itu tidak lagi kedengaran, tapi kali ini, dia tidak perasan yang pintu itu tidak tertutup rapat. Dia dapat mendengar sayup-sayup bunyi itu.


Selepas mengambil wudhuk, Humaira membentangkan sejadahnya. Bersedia untuk bertemu dengan kekasihnya itu. 
"Allah, bantulah aku untuk mencintaiMU..", rintih hati Humaira yang mengharap kasih Tuhannya.
Humaira mengangkat takbir. Melaksanakan kewajipannya sebagai hamba. Setelah usai solat, dia mencapai Terjemahan Al-Quran yang saban hari dibawanya itu. Dia berazam untuk menghabiskan juzuk ke 27 hari itu. 


Tiba-tiba, temannya Zulaikha membuka pintu itu dan menuju ke dapur.  Humaira berharap dalam hati, moga temannya itu terbuka hati untuk menunaikan solat. 
"Allah, jika dia tidak tersentuh melihatku menyembahMU, sentuhlah hatinya tika melihatku membaca ayat-ayatMU..sentuhlah hatinya tatkala mendengar aku membacakan ayat-ayat cintaMU..hanya ini yang ku mampu untuk mengajaknya kembali kepadaMU ya Allah..Aku tidak mampu lagi...", mohon Humaira dalam pengharapan.
Humaira memulakan bacaannya. Sebelum memulakan bacaan, Humaira tersedar bahawa pintu itu tidak tertutup, maka bunyi muzik dan lagu hiburan dari corong radio itu jelas dipendengarannya. Humaira tidak kisah. 
"Biarlah, moga dia mendengar bacaanku..", pasrah hati Humaira menerima situasi itu.
Surah Ar-Rahman, 'maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?'. Humaira terus membaca. Humaira tiba-tiba terkedu apabila menyedari temannya itu tidak mendengar bacaannya, malah cuba turut menyanyi beriringan dengan lagu dari panas fm itu. Suara temannya itu menyanyikan lagu kian jelas dipendengarannya. Humaira meneruskan bacaan, tetapi jauh di sudut hatinya, dia merasakan suatu kesedihan. Sebuah kegagalan. Namun Humaira teringat pesan Rabbnya.
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.” 
(QS Al Qashash: 56)
Humaira akur. Hidayah itu milik Allah. Dia tidak akan mampu memberi hidayah kepada teman yang dikasihinya ataupun siapa pun yang dipilihnya, kerana Allahlah yang berhak memilih siapa yang akan diberiNYA hidayah. Dia merasakan, mungkin usahanya untuk mendekatkan temannya itu kepada Allah belum cukup, maka da perlu berusaha lagi. Dan, jauh di sudut hatinya dia masih mengharap, moga suatu hari nanti temannya itu akan sedar, dan kembali kepadaNYA...




No comments:

Post a Comment

(Thanks for dropping by!! ^_^)