Wednesday, 29 June 2011

27 rejab: Israk & Mikraj

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. 
(surah Al-Isra', ayat 1)

ISRAK dan Mikraj satu peristiwa paling agung yang berlaku di bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah.Umat Islam wajib mempercayai dengan penuh keyakinan peristiwa itu. Peristiwa bersejarah itu diabadikan dalam al-Quran mengandungi hikmah amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad s.a.w.

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril  yang boleh dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Israk yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin. 

Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran, surah Al-Isra' ayat 1.

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW yang hanya berlangsung pada satu malam ini seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, namun roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih gagal meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. Semasa ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.

Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

peta perjalanan Rasulullah s.a.w ketika diisrakkan

Ibadat Istimewa Hamba

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu atau perantaraan Jibril AS,
sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah, berbeza dengan ibadah khusus yang lain. Begitulah istimewanya ibadah solat yang merupakan mikraj dan medan komunikasi hamba dengan rabbnya. 


Menguji Aqidah 


Israk Mikraj juga mengandungi falsafah besar menguji diri seseorang dalam memantapkan dan mengukuhkan aqidah atau sebaliknya.

Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah iaitu perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati.


Begitulah pentingnya persoalan aqidah yang wajib didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan penyebaran tauhid  di Mekah yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam, diikuti penekanan syariat di Madinah yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Bagaimana kita mahu mencintai Allah jika kita belum mengenalNya.

Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, ada dikalangan pengikut-pengikut Rasulullah saw yang tergoncang aqidah mereka kerana tidak percayakan cerita Rasulullah saw yang telah diisrak mikrajkan ke destinasi yang mengikut hitungan akal manusia yang waras adalah mustahil untuk berlaku dalam masa satu malam. 

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah saw dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda.

Meragui Perkara Ghaib

Apabila warga Mekah diceritakan kisah ini oleh Rasulullah saw, maka ramailah yang tersentak dan mula meragui, bagaimana mungkin mereka dapat mempercayakan cerita Rasulullah SAW itu. Setahu mereka, perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa sahaja mengambil masa yang begitu lama, masakan ianya boleh berlaku dalam satu malam. 

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga naik ke Sidratul Muntaha. "Owh tidak mungkin, mustahil ini boleh terjadi, Muhammad dusta!" Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!”

Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau dalam apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini. 


Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah saw, maka Abu Jahal bertanyakan mengenai ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal. 

Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah saw, sebaliknya menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir!  Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW. 

Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang beramanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun hati mereka menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mereka mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW harus ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.



Perumpamaan yang sama juga wujud pada masa ini, dimana ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat berat dan sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu samada dalam perniagaan atau pentadbiran akan terjejas kerana terdapat perkara-perkara yang haram.

Oleh yang demikian, sebarang usaha yang boleh membawa kesedaran kepada masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni yang sudah pasti akan terdedahnya penyalahgunaan dan penyelewengan perlu dibendung dan ditentang habis-habisan. Adalah menjadi kehendak mereka supaya masyarakat dibiarkan jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat

Sehubungan itu, apabila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, seperti perlaksanaan hukum hudud, pembenterasan rasuah, persoalan riba, zina dan penutupan aurat, maka ada yang mengatakan ini Islam yang melampau.  Pada anggapan mereka, Islam itu adalah mudah dan harus disesuaikan mengikut kehendak semasa.  Tidakkah semua persoalan hukum-hakam ini datangnya dari sumber Al Quran, melalui nas-nas yang muktabar dan untuk seluruh umat sehingga akhir zaman?.  Betapa bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar. 

Sudahlah merasai dikekang dalam hal-hal persyariatan, dihasut pula orang lain agar sama-sama mempertikai serta memperlekehkan agama suci ini. Watak ini saling tidak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.


Mengukur Logik Akal



Cuba kita bertanya pada diri sendiri andainya kita berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita menyertai Abu Bakar RA yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW? 


Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar RA. Tetapi itulah cabaran yang perlu disahut.  Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW.

Ambillah semangat Abu Bakar RA sebagai contoh dan teladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi memperlekehkannya.  

Seterusnya, buangkanlah watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak seharusnya dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama Islam yang sebenar.

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu kita. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan melalui jiwa yang suci dan ikhlas.

Pada bulan Rejab yang penuh berkah ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan mengamalkan setiap suruhan Allah SWT tanpa sebarang keraguan. 

Hanya dengan petunjuk dan nurNya yang dapat membolehkan kita membezakan antara haq dan batil, dan bukannya melalui ilmu atau akal yang amat terbatas.  Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang mantap kepada Allah. 


Sempena kehadiran Ramadhan yang kurang lebih sebulan lagi ini, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah..moga Allah masih memberi kesempatan untuk kita sampai kepada Ramadhan yang penuh barakah..

Barangsiapa yang mendekati Allah sesiku, Dia akan mendekatinya sehasta. Barangsiapa mendekati Allah sambil berjalan, Allah akan menyambutnya sambil berlari.”  
(HR Ahmad dan Tabrani)
"Ya, Allah berkahilah kami di bulan Rajab (ini) dan (juga) Sya’ban, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. 
(HR. Imam Ahmad, dari Anas bin Malik)
Allahua'lam.


sitikhadijah.com

No comments:

Post a Comment

(Thanks for dropping by!! ^_^)