Wednesday, 15 June 2011

Bangkitlah dari kegagalan



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt



SIAPA yang tidak pernah gagal dalam kehidupan? Justeru kegagalan adalah sebahagian dari kehidupan. Mereka yang pernah berjaya, sebenarnya pernah gagal, tetapi mereka boleh berjaya kerana mereka bangkit dari kegagalan. Mereka miliki ketabahan dan kesabaran yang tinggi untuk berusaha maju.

Anda tentu pernah mendengar nama Thomas Alva Edison, ‘Tukang Sihir dari Menlo Park’ (The Wizard of Menlo Park). Seorang pencipta hebat yang dibuang sekolah, tetapi diakhir hidupnya berjaya membuat paten lebih 1,000 penemuannya. Seorang yang genius menemui formula menghidupkan mentol. Beliau mendefinasikan kecerdikan sebagai satu peratus inspirasi dan sembilan puluh sembilan peratus lagi adalah usaha. Kita semua mengenali Edison dan apakah sumbangannya dan ada banyak lagi kisah menarik sepanjang hidup Edison, seperti sikapnya dalam menghadapi kerugian perniagaan.

Saat beliau mahu membiayai beberapa projek barunya, Edison memutuskan untuk menjual sahamnya di General Electric iaitu perusahaan yang didirikan sebelumnya. Namun, projek barunya kurang berjaya dan tidak mampu bersaing dengan perusahaan lain yang lebih kukuh keadaan kewangan mereka. Projek-projek itu akhirnya gagal dan tidak boleh diteruskan lagi. Setahun kemudian seseorang memberitahunya bahawa nilai saham perusahaan yang dijual iaitu General Electric, naik mendadak di pasaran. Edison tidak menyesalinya malah dia tidak berkata, “Kalau saya tidak menjualnya” atau “Kalaulah saya masih memiliki saham-saham itu.” Dia hanya memberi reaksi dari maklumat itu dengan kata-kata santai 


“Well, it’s all gone, but we had a hell of a good time spending it.”

Dia berkata “We had a hell of a good time spending it ..”, sedangkan wang hasil penjualan saham itu habis dikeluarkan untuk membiayai projek yang akhirnya gagal. Dia sama sekali tidak bersedih atau berputus asa. 


                 ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀


Edison bukanlah seorang Muslim, tetapi dia mampu menjaga dirinya agar tidak jatuh dalam kelemahan bila terkena sesuatu yang tidak menguntungkan. Dia boleh mengambil manfaat dari sisa yang tinggal, walaupun dugaan itu mengenai sesuatu yang sangat dicintai dalam hidupnya, iaitu usaha dan penemuannya. Dia masih mampu mengambil manfaat dari apa yang ada dan masih boleh melihat persoalannya secara positif.

Jadi mengapa harus terlalu bersedih dan berputus asa dengan kejadian itu. Bukankah itu semua sudah berlalu dan tidak boleh kembali lagi. Mengapa harus membiarkan diri jatuh dalam kelemahan, itu semua tidak akan membantu seseorang untuk bangkit kembali.

Kalau Edison yang bukan Muslim boleh bersikap positif terhadap sesuatu dugaan, mengapa kita yang Muslim tidak mampu melakukannya? Sedangkan semuanya sudah dijelaskan di dalam al-Quran dan dicontohkan oleh Nabi صلی الله علیﻪ و سلم. Ingatlah pesanan Nabi صلی الله علیﻪ و سلم,

 “Raihlah apa yang bermanfaat bagimu, minta tolonglah kepada Allah dan jangan bersikap lemah.” 

Selain itu, jangan kita berandaian setelah gagal maka ianya akan menjadikan diri kita lemah. Ini sikap orang yang berputus asa. Terima saja apa yang terjadi dan bekerjalah untuk masa depan. Itulah perkara terbaik yang dapat kita lakukan.


                  ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀ ✿ ❀

Apabila kita menyedari inilah hakikat kehidupan, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita menerima kegagalan atau tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan walaupan kita telah berusaha.

Pegangan aqidah menetapkan bahawa Allah سبحانه وتعالى sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti akan semakin ramai ”orang gila” di atas dunia ini.

Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.

Allah سبحانه وتعالى melarang kita dari berputus asa. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Allah سبحانه وتعالى telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: 87)

Bahkan sehingga orang yang berdosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah سبحانه وتعالى itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sungguh indah maknanya:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani.””
( Al-Zumar: 39)

JIKA KITA PERNAH GAGAL, INI TIDAK BERMAKNA KITA AKAN GAGAL SELAMA-LAMANYA. PERSOALAN YANG PENTING BUKANLAH BAGAIMANA KITA AKAN GAGAL TETAPI PERSOALANNYA ADALAH BAGAIMANA KITA AKAN MENGENDALIKANNYA DAN BERHADAPAN DENGAN KEGAGALAN TERSEBUT, KEMUDIAN BANGKIT DAN BELAJAR DARI KEGAGALAN TERSEBUT.




secebis kata-kata terakhir dariku:
sabarlah dan kuatkan kesabaranmu. Teruskan usaha dan doa kerana bukan usahamu itu sia-sia, cuma kemenangan itu lewat tiba..

Allahua'lam..
__________________________________
Dipetik dari:
http://usrahkeluarga.blogspot.com/2011/05/bangkit-dari-kegagalan.html

Shared By: ⓑⓘⓒⓐⓡⓐ ღ ⓗⓘⓓⓐⓨⓐⓗ, teman facebook! =)





No comments:

Post a Comment

(Thanks for dropping by!! ^_^)