Thursday, 2 June 2011

berdoalah!



Ada angin yang melintang
Ada halang yang terbentang
Setiap sudut itu dirasakan susah
Setiap satu itu dirasakan payah

Ada taufan yang menderu
Ada petir yang meluru
Setiap peluang dirasakan tipis
Setiap hela nafas dirasakan nipis

Pasti ada puncanya
Ada hikmahnya


Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya

Ada awan kegelapan
Ada langit berlapisan
Setiap ramalan terasa bagai mendung
Setiap musim terasa bagai tengkujuh

Pasti ada puncanya
Ada hikmahnya

Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya

Pada baris
Butir doa
Kau memohon
Kau berserah

Hanya
Pada
DIA.....DIA

Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” 
(Al-Mu’minun : 60)
Allah turun ke langit bumi pada sepertiga malam dan menyampaikan firman-Nya: 
"Sesiapa yang memohon doa kepada-Ku nescaya Aku perkenankan... Sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri... Sesiapa yang bertaubat nescaya Ku ampunkan dosanya.
(Bukhari & Muslim)
Sabda Rasulullah saw:
Tidak ada yang mampu menolak takdir kecuali doa… Orang yang lemah adalah orang yang meninggalkan berdoa dan orang yang paling bakhil adalah orang yang bakhil terhadap salam".
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya tanpa pengetahuan saudaranya itu, maka Malaikat yang ditugaskan untuk itu akan berkata; " Amin" dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga...
(Riwayat Abu Ad-Darda')

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Doa saudaraku Yunus amat menakjubkan; permulaannya tahlil, pertengahannya tasbih dan penghujungnya pengakuan melakukan dosa. Sesiapa yang berdukacita, berada dalam kekusutan, ditimpa kesusahan dan dibebani hutang pada suatu hari, lalu ia membacanya sebanyak tiga kali, nescaya dimakbulkan untuknya."
(al-Dailami daripada Abdul Rahman bin 'Auf)

Kita tidak suka kepada penantian yang lama, kalau boleh kita nak memperolehinya segera, tetapi ingat lah...
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya." ( al-Baqarah: 216 )

ALLAH menjanjikan pengabulan doa, tapi dengan syarat kita beriman dan sedaya upaya memenuhi setiap perintah dan meninggalkan segala larangan ALLAH…

Doa adalah ibadah, dan permohonan kepada Allah. 
Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung... Sabda Nabi s.a.w :

Doa itu adalah ibadah 
(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekhusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Sabda Rasulullah saw: 
Tiada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah melainkan doa
(Abu Hurairah)

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”
(Surah al-‘Araf, 55).
Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.


Allah Sentiasa Mendengar Doa Hambanya

Dari Abu Musa al-Asy’ari, beliau menjelaskan:

Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam suatu perperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, menaiki bukit, dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian beliau mendekati kami dan bersabda:

“Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa (menyeru) kepada Tuhan yang tuli (pekak) dan jauh, akan tetapi kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu melebihi dekatnya seseorang dari kamu dengan leher binatang tunggangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 2992)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Allah Ta’ala berfirman, “Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/210)


Allah Memperkenankan Doa:
Dari Abu Sa’id, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidaklah seorang mu’min berdoa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu di antara tiga perkara:

1 - Allah akan segera memperkenankan doanya di dunia, atau

2 – Allah Subhanahu wa Ta’ala menyimpannya sebagai pahala di akhirat, atau

3 – Allah memeliharanya dari keburukan diri semisal apa yang dia minta.”

Mereka berkata: “Sekiranya begitu, kami akan memperbanyakkan doa (terus kerap berdoa)”. Nabi bersabda: “Allah lebih banyak lagi pemberian-Nya”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/18. Menurut Syaikh al-Albani, hadis ini sahih, Shahihul Jami’, no. 5714)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi bersabda:

“Doa salah seorang di antara kamu akan sentiasa diperkenankan selama dia tidak teburu-buru, iaitu dengan mengatakan:

“Aku sudah berdoa namun tidak juga diperkenankan bagiku”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6340)


Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk "
(Surah al-Baqarah, 186).
FirmanNya juga: (maksudnya)
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”.
(Surah Ghafir, 60).


Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

Keyakinan kita
Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” 
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah.
Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa...

Sabda Nabi s.a.w :
Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya baginda : " Apa itu tergopoh-gapah ?". Sabda baginda : "Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa..."
(Riwayat Muslim).
Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza.
Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut.
Sabda Nabi s.a.w :
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. 
(Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih)

Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. 
Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar...

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya. 
( al-Baqarah: 216 ) 

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.


Tiga Doa Yang Tidak Tertolak:

1 – Doa orang tua (ibu bapa) terhadap anaknya.

2 – Doa orang yang sedang berpuasa.

3 – Doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir). (Rujuk: Silsilah al-Ahadis ash-Shahihah, no. 1797)

Berdoa Dengan Hati Yang Khusyu’ Penuh Kesungguhan:

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik. Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” (Surah al-Anbiya’, 21: 89-90)

“… Mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harap.” (Surah as-Sajdah, 32: 16)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu berdoa, hendaklah dia bersungguh-sungguh di dalam doanya, janganlah dia berkata: “Jika Engkau berkehendak berilah kepadaku, Sesungguhnya tidak ada yang dapat memaksa Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6338)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Janganlah seseorang dari kamu mengucapkan di dalam doanya:

“Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu, Ya Allah, rahmatilah aku jika Engkau mahu”. Tetapi hendaklah dia bersungguh-sungguh meminta dan meninggikan harapan terkabulnya doa yang dipohon, kerana sesungguhnya apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala mengira ia sebagai sesuatu yang penting, pasti Dia akan memberikannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 339)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berdoalah kamu kepada Allah dengan keyakinan doa kamu akan diperkenankan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Shahih Sunan at-Tirmidzi, no. 2766, menurut Syaikh al-Albani hadis ini hasan)

Sebahagian Adab Berdoa Supaya Doa Diterima:

1 – Tidak bergelumang dengan perkara-perkara haram, meliputi pakaian, makanan, minuman atau seumpamanya.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘ahu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa menjelaskan tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan (musafir) yang panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, lalu mengatakan, “Ya Tuhanku, ya Tuhanku...” Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1015)

2 – Jangan bersikap Terburu-buru dan Merasa Cepat Bosan:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi bersabda:

“Doa salah seorang di antara kamu akan sentiasa diperkenankan selama dia tidak teburu-buru, iaitu dengan mengatakan:

“Aku sudah berdoa namun tidak juga dipernankan bagiku”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6340)

“Sentiasa dikabulkan doa seseorang hamba selama ia tidak berdoa dengan doa yang mengandungi dosa atau pemutusan silaturrahim dan selama ia tidak tergesa-gesa.”

Ada seorang sahabat yang bertanya:

“Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?”

Nabi menjawab:

“Dia berkata dengan: “Aku sudah berdoa, aku sudah berdoa. Namun aku lihat Allah tidak memperkenankan doaku.” Dan dia berputus-asa (bosan) lalu meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2096)

3 – Tidak Melupakan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar:
Dari Huzaifah radhoyallahu ‘anhu, Nabi bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya, kamu harus beramar ma’ruf dan nahi mungkar, atau jika tidak Allah pasti akan menurunkan siksa ke atas kamu, kemudian apabila kamu berdoa ia tidak akan diperkenankan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dan beliau menghasankannya. Lihat: al-Albani, Shahihul Jami’, no. 6947)

4 – Tidak Memohon Doa Yang Mengandungi Dosa Dan Pemutusan Silaturrahim.

5 – Sentiasa Memperbanyakkan Doa Di Waktu Senang Mahu Pun Susah:
Dari Abu Hurairah rahiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesiapa yang ingin agar Allah memperkenankan doanya di saat-saat sempit dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan berdoa di saat-saat ia senang.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3382. Dihasankan oleh al-Albani di dalah Shahih Sunan at-Tirmidzi)

6 – Berdoa Dengan Merendah Diri dan Suara Yang Lembut:
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan dengan suara yang lembut.” (Surah al-A’raaf, 7: 55)

7 - Disunnahkan Mengulang-ulang doa.

8 - Menghadap Kiblat.

9 - Menadah tangan bagi doa yang bersifat mutlak (permintaan khusus).

Dari Salman radhiyallahu 'anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

 "Sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta'ala Maha Malu dan Maha Mulia, dia malu terhadap hamba-Nya apabila mengangkat tangan (berdoa) kepada-Nya lalu Dia kembalikan dalam keadaan kosong (tidak diterima doanya)."
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1488)


Mengapa doaku tak di kabul?” Pernyataan inilah yang pernah dilontarkan kepada Ibrahim bin Adham. Lantas beliau menjawab, “Kerana hati kamu telah mati.”

Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikannya?”

Beliau menjawab, “Ada lapan perkara, diantaranya:

Kamu mengetahui hak Allah tetapi kamu tidak melaksanakan hak-Nya.

Kamu membaca Al-Qur’an tetapi kamu tidak mengamalkan hukum-Nya.

Kamu mengatakan cinta Rasulullah tetapi kamu tidak mengamalkan sunahnya.

Kamu mengatakan takut mati tetapi masih tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

Kamu mengakui bahwa syaitan itu musuh, tetapi kamu mematuhi dia.

Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka tapi kamu lemparkan dirimu sendiri ke dalamnya.

Kamu ingin memasuki Syurga tapi kamu masih tidak melakukan amal soleh.

Kamu sibuk memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan keburukan dan kesalahan diri sendiri tidak pernah kamu hiraukan.

Kamu merasakan kenikmatan yang diberikan Allah swt tetapi kamu tidak bersyukur dengan mematuhi segala perintah Allah.

Kamu menguburkan jenazah orang lain tapi tidak menginsafi diri kamu sendiri bahwa kelak kamu juga akan dikuburkan.

Maka bagaimana mungkin Dia mengkabulkan doa kamu?”

Itulah diantara sebab-sebab mengapa DOA kita tak dikabulkan oleh Allah swt. Padahal kita sangat mengharapkan doa kita dikabulkan oleh Allah swt, dan permintaan kita segera dijawab oleh-Nya....


Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya....
Allahu a'lam..


sumber:http://simbiosis-86.blogspot.com/2010/08/berdoalah-nescaya-allah-akan.html

No comments:

Post a Comment

(Thanks for dropping by!! ^_^)